Date: 16 October 2017

Tags:

muzik, budaya, keluarga

Bersama Generasi Lagu dan Irama

by Liyana Sulaiman

 “Engkaulah lambang cinta karam tragika
Akulah di bahtera cinta tragika
Barulah aku mengaku cinta kita telah musnah
Barulah aku mengaku cinta kita kekal padah”

 

Lagu ‘Cinta Tragika’ ini yang dinyanyikan oleh kumpulan duo tempatan Dinodi, memang tidak asing lagi kerana pernah suatu ketika dahulu menjadi lagu hit di Singapura. Ia sentiasa menjadi pilihan untuk dinyanyikan di sesi-sesi karaoke atau sering dipesan untuk dimainkan di corong-corong radio tempatan. Walaupun sudah lebih dari sepuluh tahun sejak ia pertama kali dinyanyikan oleh Dinodi, lirik lagu yang amat puitis bersama susunan muzik yang amat indah dapat menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa lagu ini merupakan di antara lagu-lagu yang tersenarai di dalam sebuah album, hasil ciptaan seorang pengkarya yang mapan lagi hebat, Encik Mohamed Khair Mohamed Yasin.

My only solo album so far, the title is ‘Panji Anak Minority’, it was banned. Maknanya, lagu panji itu itself, the first song, is not played in the radio. But Alhamdulillah dengan  rezeki yang Allah ta’ala berikan, lagu ‘Bumiku Bumimu’ diangkat menjadi lagu nasional, then lagu ‘Cinta Tragika’ became a hit song when Dinodi sang. So, walaupun they ban the main songs, tapi the other songs made it. Alhamdulillah. But because I write for the sake of… To send a message, so kita takde kisah all these you know, main ke tidak, popular ke tidak, it doesn’t matter lah to me. That’s my opinion.”

Encik Khair yang kini berusia 52 tahun, memang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni. Namanya juga mungkin lebih sinonim dengan kumpulan folk rock tempatan ‘Rausyanfikir’ yang aktif dalam lewat 90-an dan awal tahun 2000. Kumpulan ini terdiri daripada tiga pencinta dan penggiat seni yang sememangnya sudah dikenali ramai – Art Fazil, Allayarham Esham Jamil dan Khair Yasin sendiri. Berlainan dengan kumpulan muzik yang mainstream, kebanyakan lagu-lagu Rausyanfikir menyinggung masalah-masalah sosio-politik dan memanggil kepada pemeliharaan budaya dalam era globalisasi dan modernisasi ini.

Our main drive is to write for the betterment of the society lah. Because to me as an artiste, your job is to enhance the quality of life by writing good works,  by letting people listen to good songs, and of course social critique songs lah.. You cannot everyday dengar lagu-lagu yang… membuaikan... Memang baik… Keindahan itu memang ada di dalam cinta, di dalam perasaan cinta seorang insan kepada seorang insan yang lain tapi hidup tu sebenarnya lebih luas daripada itu dan sebenarnya terlalu luas.”

Mengikut jejak abah

Namun, mungkin generasi muda hari ini lebih mengenali anak sulung kepada Encik Khair, iaitu Muhammad Bakti Ridhwan atau lebih dikenal sebagai Bakti Khair. Kata orang, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Bakti, 25 tahun, merupakan seorang mahasiswa tahun terakhir di Lasalle dan pada masa yang sama, sedang menempah nama di persada seni Singapura.

Bermandikan cahaya pentas yang berwarna-warni bersama sorakkan dan tepukan yang gemuruh dalam dewan Mediacorp, Bakti mendendangkan lagu pertamanya yang berjudul Madah Pohon Beringin di sebuah rancangan realiti Suria Singapura Live 2.0. Ini merupakan ‘public appearance’ yang pertama buat Bakti dan secara kebetulan, lagu itu juga merupakan hasil kerjasama dia dan ayahnya buat sebuah pertandingan seni kata dan lagu anjuran radio tempatan, Ria.

Apabila bertemu di rumahnya, terlihat alat muzik seperti gitar dan keyboard, tersusun rapi di suatu sudut kecil, bersebelahan dengan ruang televisyen di ruang tamu. Anak dan ayah duduk bersebelahan. Ketika ditanya tentang apa yang membuat dirinya terpanggil untuk mengikut jejak langkah ayahnya, Bakti terdiam dan tersenyum, kemudian pandangannya dialihkan kepada ayahnya.

"When I was small, ayah selalu putarkan lagu-lagunya kat kereta dan kat rumah. Saya kenal lagu-lagu ayah from radio and tv. Bila saya berumur 15 tahun, saya mula menulis dan belajar buat gubahan lagu untuk karya ayah saya dan dari situ… Saya mula rasa lebih semangat untuk ikut jejak langkah ayah"

Mendengar kata-kata anaknya itu, Encik Khair pun tersenyum, barangkali terharu bahawa dia telah menjadi sumber inspirasi untuk anaknya. Buat Encik Khair, dia tidak pernah menghalang anak-anaknya untuk menceburi bidang seni. Harapannya sebagai seorang ayah adalah agar ketiga-tiga anaknya itu dapat berbakti kepada masyarakat dan menjadi insan yang berguna, dalam apa cara sekalipun.  
 



Penulis bersama Encik Khair dan Bakti

Ketika ditanya apa pula yang mendorong pasangan anak dan ayah ini untuk menceburi bidang seni, minat yang mendalam terhadap sastera merupakan titik tolak pertama bagi Bakti dan Encik Khair. Sejak dari bangku sekolah lagi, mereka sering menulis dan ada beberapa karya penulisan sajak dan puisi yang telah diterbitkan di Berita Harian. Namun, tema-tema dan cara penulisan sudah tentu tidak sama kerana personaliti, pengalaman, serta cita rasa yang agak berbeza.

Saling melengkapi

Bekerja dengan ahli keluarga sendiri bukan mudah dan ada di antara kita yang mungkin tidak mahu mencampur adukkan isu-isu pekerjaan dengan hubungan keluarga. Berbeza pula dengan Bakti dan ayahnya kerana bidang muzik ini telah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka dan pada masa yang sama, membolehkan mereka untuk bekerja bersama kerana kekuatan mereka yang saling melengkapi. Meskipun muzik merupakan sesuatu yang sangat peribadi untuk Encik Khair, kepercayaan untuk merakamkan lagu-lagunya selalunya akan diberikan kepada Bakti.

“Kerana Bakti… saya tahu kelebihan dan kekuatan dia sendiri. Jadi saya tidak risau tentang hasil yang akan dicapai menerusi sentuhan Bakti tu lah. Tapi pastinya ada ketika, sebab ni adalah pekerjaan kan. Jadi mungkin ada pandangan masing-masing. Mungkin saya ada pandangan tertentu terhadap sesuatu dan Bakti ada pandangan tertentu terhadap sesuatu.  Tapi biasanya, saya akan menyerahkan kepada Bakti untuk membuat keputusan. Because Bakti pada saya ialah seorang yang faham isi hati bapak dia. Jadi lebih mudahlah untuk kita bekerja sebenarnya. Tapi kita selalu berbincang secara matang. Saling melengkapi lah.”

Kekuatan mereka yang saling melengkapi ini turut diulaskan oleh Bakti sendiri.

Actually I feel that, kita punya strength quite lain sikit. Jadi in a away, dalam sudut pengkaryaan, my dad akan tulis seni kata dia then I will handle the music part. Kita follow kita punya strengths masing-masing. Pasal I’m also quite used to the way my dad tulis dia punya seni kata. So I know macam what kind of melody will suit my dad’s seni kata. I also know what kind of instruments that will fit into the song

Keakraban antara Encik Khair dan Bakti memang ternyata jelas dan merupakan pendorong utama yang membolehkan mereka untuk terus berkarya dan membuat persembahan bersama-sama. Perbezaan pendapat memang suatu perkara yang lumrah tetapi, tidak pernah menghambat perjalanan seni mereka. Namun, dalam keserasian ini, masih ada banyak ruang dan peluang untuk Bakti berdikari dan memperjuangkan lagu-lagunya sendiri. Jika Encik Khair lebih cenderung kepada genre folk-rock dan juga tradisional, Bakti pula lebih selesa menyanyikan lagu-lagu daripada genre R&B dan pop. Justeru, masing-masing mempunyai cita-cita dan harapan yang tersendiri yang ingin direalisasikan – Tidak kiralah sama ada ia memerlukan perjuangan bersama ataupun perjuangan sendiri.

Berkongsi ilmu penulisan seni kata dan lagu

Perbezaan generasi serta genre muzik tidak menjadi halangan untuk mereka berkarya dan bersatu membuat persembahan di atas pentas. Kini, mereka dikenali sebagai the father and son duo dan sering diundang untuk membuat persembahan bersama kerana keunikan gabungan dua genre muzik. Malah, Encik Khair yang kini mengadakan bengkel-bengkel penulisan seni kata dan lagu secara full-time, kadang-kala turut disertai oleh Bakti, di mana mereka berdua akan menjalankan bengkel tersebut bersama-sama. Encik Khair telah diundang untuk mengadakan bengkel tersebut di merata-rata Singapura – di sekolah, insitut pengajian tinggi, masjid, acara-acara Bahasa dan budaya dan banyak lagi. Bengkel ini merupakan salah satu wadah utama untuk Encik Khair teruskan semangat beliau dalam melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

“Kita ada ramai penulis-penulis yang pakar dalam penulisan lirik. Tapi belum ada usaha yg betul-betul jitu untuk berkongsi kepakaran atau kebolehan dalam bidang ini. Itu yang saya mula-mula uar-uarkan di dalam Berita Harian bahawa saya akan mengadakan bengkel-bengkel ini.”

Ketika menghadiri salah satu daripada bengkel yang diadakan sempena Bulan Bahasa, terlihat keserasian yang terserlah di antara Bakti dan ayahnya. Kebolehan untuk mengiramakan dan mendendangkan lagu dengan bersahaja membuatkan para peserta berasa kagum. Dalam beberapa jam sahaja, para peserta dapat meraih satu ilmu yang bermanfaat dan sedar akan kepentingan bahasa Melayu dalam penulisan seni kata dan lagu. Encik Khair juga sempat mempromosikan bukunya yang mengandungi cara-cara atau rahsia menulis seni kata yang baik, seperti lagu-lagunya yang dikenali masyarakat - Pesta perut, Berpindah minda, Azam berazam dan banyak lagi.

“Landasannya adalah untuk menulis dengan menggunakan bahasa yang indah, ayat-ayat yang indah, yang mempunyai nilai-nilai sastera, ada metofaranya dan sebagainya… Seperti lagu-lagu saya lah. Jadi tujuannya…  Untuk melestarikan bahasa kita. Sebab saya selalu cakap dengan budak-budak, kalau kita berhenti menulis seni kata dan lagu dalam bahasa Melayu, besar kemungkinan bahasa kita pun akan pupus satu hari nanti. Kerana org kita hidup dengan seni kata dan lagu. Kekuatan kita tu ada pada seni music ini.”
 



Encik Khair dan Bakti di bengkel Dondang Rakyat sempena Bulan Bahasa 2016
Gambar dipetik dari youtube @kraftease SG

Mutu lagu-lagu Melayu dan kefasihan berbahasa Melayu

Dalam era globalisasi dan modernisasi ini, pengaruh asing memang tidak boleh dihiraukan kerana telah banyak mengubah cara pemikiran dan gaya hidup kita dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini. Encik Khair menyatakan bagaimana ia merupakan satu fenomena yang tidak dapat dielak dan bakal belaku dalam setiap masyarakat. Hal ini dapat dilihat menerusi lagu-lagu Melayu yang telah dihasilkan oleh penulis-penulis dahulu dan sekarang. Namun, ketika menyentuh tentang penulisan seni kata lagu-lagu Melayu hari ini, ada terpalit perasaan risau dan prihatin yang jelas terpancar di wajah Encik Khair.

“Kalau kita gunakan bahasa-bahasa picisan atau yg lemah atau gaya bahasa yang tidak segar... Bahasa yang tidak kuat lah. Maka, kita tidak boleh memartabatkan bahasa kita. Betul tak... Jadi kita mesti memperkasakan diri kita dengan bahasa Melayu yang kuat, yang tinggi nilainya, yang mempunyai tafsiran-tafsiran yang tertentu, walaupun dalam penulisan lirik. Ada penulis lirik tak setuju eh. Ada penulis lirik hanya suka lagu-lagu yang dia senang dengar dan dia senang faham. Tapi… Ia menunjukkan kemalasan kita sekarang. Malasnya bangsa kita untuk menafsir. Ini pendapat saya”

Encik Khair melihat bagaimana mutu lagu-lagu Melayu yang dituliskan dan dihasilkan telah sedikit sebanyak mempengaruhi minda masyarakat dan dengan sekaligus,  menjejas kefasihan orang Melayu kita untuk berbahasa Melayu terutama sekali di kalangan anak muda kita hari ini. 

Sebagai seorang anak seni yang masih muda, Bakti turut mengongsi rasa prihatinnya tentang masalah penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat kita dan bagaimana beliau sendiri mengalami kesukaran untuk berbahasa Melayu dengan baik pada saat-saat yang tertentu. Namun, Bakti masih gigih dalam usahanya untuk bantu dalam melestarikan bahasa Melayu menerusi penulisan puisi yang sering dilakukan ketika masa lapang.

Memperjuangkan lagu-lagu Melayu yang bermutu dalam era globalisasi yang mencabar

Tambahan pula, semangat untuk memperjuangkan lagu-lagu Melayu yang bermutu hari ini memang mencabar, terutama sekali dengan kemudahan teknologi yang meluaskan lagi persaingan lagu-lagu Melayu. Fenomena ini bukan sahaja telah mempengaruhi pihak pendengar. Malah, ia juga telah memainkan peranan yang penting dalam keputusan seorang penulis dan penggubah lagu Melayu. Hal ini dijelaskan lagi oleh Bakti.

“Ok I think the difference between my generation and my dad’s is the heavier western influence.  So… because of adanya western influence, then our Malay songs will also macam.. move towards it. And I think right now, the media will want to cater to what listeners want to hear. So then, a lot of artistes nowadays, do music just for the mainstream audience, in order to gain more income.”

Encik Khair mengangguk tanda setuju. Namun, beliau seolah-olah sedang berfikir panjang sambil melihat pemandangan di luar. Seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan. Sambil membetulkan kaca matanya, beliau pun menambah.

So dia ada balancing act kat situ lah which is very difficult. Because you want to maintain your integrity as an artiste but, at the same time, you want your songs to be heard.  If you can do that, most probably your songs will last, because when you can balance between quality and the commisional aspect of the song, then I think… I think these are the hallmark of a great song writer or a great artiste.”

Tujuan seseorang penulis dan penggubah lagu memang banyak dan akan sering dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang kadang-kala sukar untuk diketahui atau difahami. Apa yang jelas adalah bagaimana Encik Khair dan Bakti sentiasa berpegang teguh kepada slogan ‘seni untuk masyarakat’. Justeru, lagu-lagu yang dihasilkan selalunya berlandaskan dengan keterpanggilan mereka untuk menyedarkan sesuatu dalam masyarakat agar ia dapat membawa kepada kesejahteraan sejagat.

Lagu sebagai penggerak masyarakat

Mungkin ramai yang belum sedar akan kepentingan fungsi lagu dalam sesebuah masyarakat. Lagu yang mempunyai seni kata yang baik dapat menggerakkan minda masyarakat. Pada masa yang sama, lagu merupakan salah satu wadah sastera untuk kita membahaskan isu-isu penting dan yang bermakna untuk kita. Perkara ini dijelaskan lebih lanjut lagi oleh Encik Khair.

“To me, songwriters are leaders themselves. Because they indirectly influence the thoughts of our people. For example if your song is very impactful, it can create awareness and awaken certain things in the consciousness. That’s why I say it is very important to write songs that have a purpose so that it will be a purposeful journey.”

Penulis seni kata dan lagu sendiri merupakan sebahagian dari masyarakat dan peranan mereka sememangnya tidak boleh diperlekehkan. Sumbangan dan usaha Encik Khair dan Bakti dalam persada seni Singapura bukan hanya terbatas dalam bahagian seni. Tetapi, jika direnung dan diteliti dengan baik, kita dapat lihat bagaimana usaha mereka telah sedikit sebanyak memartabatkan bahasa dan budaya Melayu yang merupakan faktor penting dalam mengenali jati diri kita sebagai seorang anak Melayu di Singapura.
 



Encik Khair dan Bakti membuat persembahan di Espalanade.
Gambar dipetik dari youtube @ Nobat Kota Singa

Reader Comments

No comments on this post yet

Leave a Comment

Make sure you enter the(*)required information where indicate.HTML code is not allowed

Supported by

In partnership with

Contact Us

  • Address:
    Malay Heritage Centre
    85 Sultan Gate
    Singapore 198501
  • Email:
  • Tel:
    +65 6299 5503
  • Fax:
    +65 6299 5842

Looking for…?


Social media

Privacy Policy      ///     Terms & Conditions      ///     Sitemap