Date: 20 February 2017

Tags:

Jawi, translation, evolution, evolusi, tulisan, writing, khat, calligraphy, madrasah

Evolusi Jawi

Mengimbas Muka dan Mengimbas Kembali

by Radhiah Binti Ramli

Tampak anak-anak didik Madrasah Al-Sagoff, terjengket-jengket di pagar sekolah. Berbaju kurung berkain kuning langsat, mereka berhimpun di kawasan tiang bendera dicacak.
 
Sejurus doa diaminkan, Ustazah Saripah Bte Saripi, 51 tahun, yang tadinya memendap di belakang ruang pejabat menuju ke kelas. “Kalau nak kenali sejarah Melayu, kita harus kaji penulisan jawi,” kata Ustazah.
 

Gambar 1: Belajar Jawi- Para pelajar beratur di luar kelas masing-masing selepas waktu rehat. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli. 
 
Dia menggalas beg di bahu dan iPad di atas meja dibawa bersama. Sedang dia menyiapkan dirinya sambil menekan-nekan butang pada iPad-nya, para pelajar berumur tujuh tahun memicit alat teknologi yang tersedia di atas meja mereka.
 
Ustazah Saripah, sudah mengajar di sekolah tersebut sejak 24 tahun yang lalu. Jawi merupakan salah satu subjek pembelajarannya.
 
Hanya sanya satu antara enam buah Madrasah yang mengekalkan pembelajaran jawi dalam kurikulum mereka. Sejak sistem penulisan jawi dirumikan secara rasmi pada tahun 1960 an, rencam dan kepelbagaian inisiatif bagi menghidupkan kembali kegemilangan tulisan ini telah dijalankan.
 
Bagi menetakkan relevensi Jawi dengan tuntutan sukatan pembelajaran yang lebih ketat, sekumpulan Asatizah di Al-Sagoff telah mengadunkan strategi untuk melanjutkan subjek jawi. Singkatannya:- menggunakan iPad dan I-book yang diciptakan sendiri.

 
 
 Gambar 2: Inovasi Jawi- Pembelaran Jawi menggunakan Ipad untuk menjadikan proses pengajian lebih menarik. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.

 
Turut terlibat dalam usaha ini, pengetua sekolah, Syed Mustafa bin Syed Ja’afar Alsagoff, mengimbas kembali mesyuarat guru yang membicarakan soal masa hadapan penulisan jawi.
 
“Tujuan kami mengekalkan bukan hanya kerana tradisi,” kata Ustaz, “supaya generasi akan datang sedar tentang penulisan jawi pada awalnya untuk bangsa Melayu.”

 

Gambar 3: Generasi Pembaharu – Para pelajar menyapu-nyapu skrin Ipad tatkala Ustazah Saripah sedang menerangkan di dalam kelas. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.

 
Penyambung warisan, peneraju pembangunan
 
“Ga! pa! nya!” lalu para pelajar meniru Ustazah Saripah “Ga! Pa! nya!”. Ustazah menyuruh anak-anak itu menyapu skrin iPad.
 

Gambar 4: Jawi mudah- Ustazah Saripah Binte Saripi mengajar anak-anak muridnya enam huruf jawi yang tidak didapati dalam Bahasa Arab. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.
 
Ustazah Saripah dan Ustaz Mustafa bersependapat bahawa kombinasi bahasa Arab dan bahasa Melayu telah memudahkan proses pembelajaran tulisan Jawi. Dengan menekankan pada huruf-huruf yang tidak wujud dalam bahasa arab seperti “ݢ “ (ga),” ڤ ” (pa), “ ڽ " (nya) pada peringkat awal, proses mengajar dapat dipermudah, tambahnya.
 
Air yang berandang tenang tidak bermaksud tiada pasang surutnya.- Tidak semestinya mengekalkan jawi itu mudah. Buku-buku teks jawi yang sesuai jarang ditemui. Pelajar mungkin juga tidak berminat menulis jawi?
 
Fon jawi yang unik biasanya tidak disokong oleh aplikasi Apple, Ustaz menambah. Madrasah Al-Sagoff mengambil jalan keluar dengan menggunakan jpac dan menghasilkan buku mereka yang tersendiri dalam bentuk I-book. Ustaz menyambung kata-katanya:
 
“Kita tidak menjadikan cabaran tersebut sebagai hambatan,
guru-guru kita membangunkan usaha ini dan terus memperbaiki.”
 
Ustaz membetulkan songkok hitam yang dikenakan dengan baju Melayu. Mengimbas kembali memorandum ASAS 50 yang diadakan pada 27 March 1954. Latin dianggap abjad yang paling praktis untuk memajukan Bahasa dan kesusateraan Melayu.
 
Penyambung warisan, Pembangun Wacana
 
Selain dari manuskrip jawi yang digali dari zaman berabad, teks-teks kesultanan seperti Sulalatus Salatin seawal tahun abad ke 15 atau 16, adalah contoh yang klasik. Bustan Arifin dan Majalah Qalam pula adalah wadah yang disediakan untuk masyarakat Melayu pada tahun 1950an. Rantau ini juga sarat dengan hasil kitab-kitab keagamaan bertulisan jawi.
 
Ustaz meluahkan nasib orang Melayu Islam yang menanggung rugi kerana tidak mempelajari Jawi. “Penulisan ulama-ulama Fatani yang digelar ‘buku kuning’ masih lagi dalam penulisan jawi, harus ada usaha untuk mempelajarinya”, kata Ustaz.
 
Dalam mengakali ikhtiar untuk menghidupkan jawi, Hirman Mohamed Khamis, 45 tahun, calon pos siswazah di Universiti Putra Malaysia membuat kajian dalam peringkat Doktor Falsafah tentang pelestarian penulisan jawi di Singapura.
 
 
 

 
 <  Gambar 5: Penggerak Wacana- Hirman telah membuat pembentangan di Pahang pada 30 March 2016 sebagai sebahagian dari latihannya. Gambar dikongsi oleh Hirman.

 
 



















 
Baginya, gerakan minat terhadap warisan bangsanya serta keterkaitan agama dan identiti telah menjadi ransangan untuk meneruskan perjuangan. “Mengenal jawi adalah langkah pertama bagi mengetahui tentang keislaman orang di Dunia Melayu” katanya.
 
Dunia akademia merupakan pintas yang dipilih untuk mengembangkan potensi jawi. Baginya, ia adalah satu cabaran yang memuaskan. Walaupun sudah beristeri dan ber-anak dua, tidak gelabut walaupun sibuk. Dia khuatir sekiraya trend megabaikan jawi akan berterusan.
 
Hirman membelek-belek draf tesisnya diiringi pelbagai koleksi manuskrip dari perpustakaan Nasional. Selain dari dikawani koleksi novel-novel lama dan manuskrip-manuskrip jawi, Hirman juga meluangkan banyak masa di sebuah institusi selain madrasah yang telah menyambung warisan pembelajaran jawi.
 
Sabar penghilang penat, tekun pembawa deka, - berbulan-bulan dia menyelidik perkembagan jawi yang diajarkan di institusi Andalus.
 
“Walau jawi diajarkan pada peringkat asas sahaja, sekurang-kurangnya ada,” kata dia.
 
Dalam menceritakan pengalamannya, Hirman menunjukkan carta respon yang positif dari kalangan pelajar-pelajar yang mempelajari jawi di institusi tersebut.
 
Selayan pandang, ramalan terhadap kemampuan jawi ini tidak dapat dijangkakan. Dalam dunia pendidikan dan pengkajian, Jawi masih mempunyai nilai yang tidak boleh ditukar ganti. “Pengajian Jawi boleh dikembangkan untuk peringkat lebih tinggi bagi mengetahui tentang sejarah penulisan dan penggunaan jawi di nusantara ini,” kata Ustaz Mustafa.
Sambil memegang erat pensel dan kertas, anak-anak Alsagoff ini terus memberi perhatian kepada Ustazah. Mereka membuka tab yang baharu. Kali ini, pelajar harus menulis di permukaan iPad. Murid-murid menunggu giliran mereka dipanggil.

 

Gambar 6: Jawi menarik- Para pelajar menunjukkan kepada Ustazah Saripah jawapan yang ditulis di permukaan skrin Ipad mereka. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli.

 
Penyambung warisan, Pejuang kesenian
 
Kecantikan membentuk huruf-huruf jawi tidak menjadi perhatian utama di Madrasah Al-Sagoff dan Institusi Andalus. Desakan untuk memikirkan tentang strategi penakatan lebih memainkan peranan.
 
Biar begitu aksara jawi tidak terpisah daripada budaya kesenian yang semakin mendapat tempat pada zaman ini.
 
Suasana kelas menulis khat yang diadakan setiap hari Jumaat di Jurong East sunyi dan sepi. Pelajar berumur dari 20 tahun ke atas memegang ‘Qalam’-pena, dengan kuat.
 
Ustazah Nur Fathiah Binte A’bdussamad, 28 tahun, seorang guru Khat Bahasa Arab membimbing anak didiknya, Nur Afiqah Bte Agus, pengasas “Projek Khat” pada tahun 2014 di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
 
Afiqah terharu dengan sambutan yang meriah dari orang ramai sejak ‘projek Khat’ diadakan. Menurutnya, Khat bahasa Arab mampu menarik perhatian orang ramai. “Saya berdakwah melalui penulisan Khat”, kata Nur Afiqah. “Apabila ayat-ayat Al-Quran ditulis dengan rapi, pelanggan akan teringat akan Kata-Kata Allah.”

 

Gambar 7: Mempertingkat kemahiran khat- Nur Afiqah Bte Agus, 22 menghadiri kelas Khat seminggu sekali. ‘walaupun saya Mahasiswi dalam jurusan reka bentuk, mempelajari Khat perlu bimbingan seorang guru kerana dia akan menguraikan ‘permata-permata’ yang tidak dili

 
Sama ada berbentuk thuluth , naskhi ataupun selainnya, Fadzillah binte A. Rahim- berpendapat bahawa Seni khat memaparkan kebijaksanaan orang Melayu mengadunkan pelbagai gaya khat yang diwarisi dari tamadun besar dunia Islam. Inilah dia keistimewaan khat Melayu.
 
Selain dari buku nota dan tanda buku, ‘Projek Khat’ juga mengambil tempahan untuk hantaran perkahwinan.
 
“Tempahan untuk tulis dalam Jawi tak ramai tapi adalah sikit-sikit. Mungkin Khat Arab lebih menarik perhatian ramai,” Afiqah berkata.
 
Tarikan visual memang tidak disangkal lebih mendapat orang dibandingkan sejarah dan perkembangan tulisan khat. Demikian juga adalah pendirian Ustaz Mustafa yang menganggap bahawa minat terhadap kesenian khat adalah satu perkembangan yang baik.
 
Selain Afiqah Agus, Faizal Somadi, pengasas bagi Faddho- sebuah syarikat yang menyediakan khidmat seni bentuk grafik dan pengajian kesenian Khat Arab menganggap bahawa kebanyakan orang tidak peduli tentang perkembangan kesenian Khat.
 
“Kalau sejarah khat tidak dikaji, kita jatuh dalam lubang kemunduran,” kata Faizal.

Walaupun Faizal tidak terlibat dalam pengajian jawi, dia merupakan seorang yang pakar dalam penulisan Khat. Komitmennya terhadap kesenian ini telah merangsangnya untuk mendalami bidang Khat Arab dari tahun 2002 hingga kini. Namun Khat bukan hanya penulisan yang cantik baginya.
 
Faizal tegas: “Kalau seseorang itu membangunkan dirinya untuk menjadi seorang jurukhat, maka ilmu dan kemahiran yang diceburinya tidak sahaja harus tertakluk dalam kepandaian menulis dengan cantik, tetapi menulis untuk memperhalusi apa yang terkandung dalam mindanya – writing as an intellectual journalistic development.” 
 
 
 
Gambar 8: Intim dalam melatih- Ustazah Nur Fathiah (kiri) menyemak kertas latihan Nur Afiqah (kanan). Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli
 
 
Penulisan menyatukan dua orang yang terlibat. Seorang guru dan muridnya. Seorang tokoh dan pengikutnya. Begitulah perhubungan Ustazah Saripah bersama anak didiknya, Afiqah Agus bersama gurunya dan Faizal bersama syeikhnya. Dia menambah, “Peradaban serta budaya dalam perhubungan antara seorang murid dan gurunya harus tetap berkekalan”.
 
 

Gambar 9: Jawi penyatu kasih- Ustazah Saripah sedang memerhatikan anak-anak menulis jawi di permukaan skrin Ipad mereka. Gambar dipetik oleh Radhiah Ramli

 
 
Penyambung warisan, Pembentuk insan
 
“Kriing!!” Anak-anak bergegas mematikan iPad. Letih lesu, Ustazah Saripah langsung pulang ke pejabatnya. Para pelajar memberi salam lalu bersurai.
 
Dia akur, mengajar jawi adalah proses yang mudah. Kesamaan pada vokalnya lebih meransangkan. Tak suang rapuh, minat dan memori terhadap jawi tetap menjadi rapat baginya.
 
Sambil ketawa kecil, Ustazah Saripah melakarkan, “Dulu-dulu, bapa saya kalau tengok rumi tak faham pun. Semua dalam jawi.”
 
Dari pelbagai daya usaha mengekalkan jawi kepada kecenderungan minat terhadap seni, masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri tentang kesan jawi terhadap identiti diri.
 
Sambil berbual dengan Ustazah Saripah, Ustaz Mustafa memerhatikan anak-anak didiknya melompat-lompat di hadapan bilik mesyuarat. Pintu gelangsar dibuka dan Ustaz kembali ke pejabatnya.
 
“Jawi adalah simbol agama dalam masyarakat melayu, kalau tak ada, kita akan hilang identiti Melayu islam”.


 
Get the English translation of this article at: http://www.warisansg.com/newsletter/-the-evolution-of-jawi-16934.html
 

Reader Comments

No comments on this post yet

Leave a Comment

Make sure you enter the(*)required information where indicate.HTML code is not allowed

Supported by

In partnership with

Contact Us

  • Address:
    Malay Heritage Centre
    85 Sultan Gate
    Singapore 198501
  • Email:
  • Tel:
    +65 6299 5503
  • Fax:
    +65 6299 5842

Looking for…?


Social media

Privacy Policy      ///     Terms & Conditions      ///     Sitemap