Date: 05 March 2017

Tags:

Kenduri, adat melayu, fungsi kenduri, kendari,

Kenduri: Tak Lapuk Dek Hujan Tak Lekang Dek Panas

by Muhammad Faris Alfiq

 








Photo taken from http://kuliner.kompas.com/read/2013/04/01/08414086/Aceh.Kenduri.Sepanjang.Hari.

Dalam era masyarakat yang kian maju, kenduri tetap menjadi satu landasan penting bagi masyarakat Melayu dalam lingkungan sosial dan juga spiritual.
 
Setiap Malam Hari Raya, Encik Idris bersama “pasukannya” membentangkan tikar gulung di dewan serbaguna Blok 503B Canberra Link. Di situlah tapak di mana kenduri beramai-ramai diadakan.
 
Setelah semua sampai, Encik Idris duduk di bahagian hadapan dewan itu. Berbekalkan buku kecil yang dipegangnya dan berkacamata, dia melakukan percubaan suara kepada alat pembesar suara. Dia mula melaungkan nama-nama suci Allah dan potongan-potongan ayat Al-Quran.
 
Di sini lah boleh lihat bagaimana adat berkenduri itu kekal di ruang publik. Walau adat berkenduri ini sudah lama dipraktikkan oleh masyarakat Melayu, ia tetap kekal dan relevan pada masa ini. Namun, dengan dunia yang semakin pantas dan ringkas, kenduri kini berubah wajah. Walau bagaimanapun kenduri akan tetap menjadi satu wadah yang penting bagi masyarakat melayu dalam lingkungan sosial dan spiritual mereka.
 
Kenduri dengan jiran tetangga
 
“Saya takut nanti sampaikan orang mati pun tiada kenduri, walaupun pada hari pertama.”
 
Itulah kata-kata encik Idris, 60 tahun, ketua Kebajikan Masyarakat Canberra Link (KMCL) apabila merenung akan nasib budaya berkenduri ini.
 
Tidak hairanlah bahawa Encik Idris berkata sedemikian. Usaha Encik Idris untuk mengadakan kenduri di dewan serbaguna sudah berlaku bertahun-tahun lagi. Bagi KMCL, sudah 15 tahun ia dilakukan. Sebelum ini, Encik Idris tinggal di Yishun dan dia juga melakukan kenduri seperti ini - di kolong blok bersama rakannya, Haji Yusuf, yang menegakkan kumpulan Muhibbah selama 18 tahun.
 
Apabila ditanya bagaimanakah dia dan rakannya mula untuk mengadakan satu inisiatif untuk berkenduri beramai-ramai, dia berkata bahawa ianya sudah sebati dengan dirinya, sejak zaman muda dulu di Kampung Tengah, Sembawang.
 
“Dulu kat kampung Tengah tu, kat surau nanti pak Imam bilang ada kenduri kat rumah sesiapa la. Cik dan satu lagi kawan cik, Haji Yusuf yang tinggal kat Yishun dua orang je budak muda la katakan dalam kalangan orang tua. Jadi kita pun ikutlah” katanya.
 
Dia juga menambah bagaimana acara kenduri dikendalikan. Dia kata bahawa semua orang kampung membawa sedikit juadah ke kenduri. Sesekali, bukan hanya ke satu kenduri semalam tetapi ada yang dalam dua atau tiga kenduri berterusan.
 
“Ini semua untuk merapatkan silaturrahim.” katanya.
 
Jika dilihat, kenduri memang mempunyai fungsi spiritual dengan memuji nama-nama Ilahi dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ia juga untuk memanjatkan doa kepada yang telah tiada dan mengingati mereka. Ia juga boleh berbentuk kesyukuran kepada Tuhan terhadap apa yang dikurniakan dan untuk menandakan kesyukuran keatas nikmat, kenduri boleh dijadikan wadah untuk berkongsi bersama yang lain akan nikmat yang diberi.
 
Asal usul perkataan kenduri berasal dari perkataan Persia “kendara”, yang membawa maksud pesta makan setelah berdoa kepada Allah. Di Persia, berdoa ini membawa maksud berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad dan juga anak beliau Fatimah Az-Zahra.
 
Kenduri datang ke tanah Melayu, lebih tepat lagi, Tanah Jawa pada kurun ke 15 oleh Sunan Ampel dan dilakukan juga selepasnya Sunan Bonang.
 
Kenduri pada waktu itu dijadikan sebagai sebuah solusi kepada gejala-gejala sosial dan juga praktis pemujaan yang tidak elok seperti persetubuhan yang bebas di tanah lapang dan penyembelihan binatang. Dengan itu, majlis keramaian itu tetap dijaga tetapi aktivitinya digantikan dengan memuji kebesaran Ilahi dan jamuannya juga ditukar dengan jamuan yang elok dimakan.
 
Bagi Encik Idris, dia berniat untuk menyatukan masyarakat dan jiran tetangga melalui kegiatan keramaian seperti kenduri.
 
Dia juga menambah bahawa KMCL hanya bermula dengan berkenduri sahaja. Tetapi dengan kenduri itulah yang dapat merapatkan penduduk Canberra Link. Dari kenduri, kini KMCL juga melakukan wisata ke luar negara bersama jiran tetangga.
 
Dan dengan niat inilah, Encik Idris berusaha untuk mendapatkan orang ramai untuk menghadiri kenduri. Dan dengan hanya berkenduri, KMCL berkembang daripada hanya tiga blok, 503A, 503B dan 503C Canberra Link, kepada 13 blok (dan terus berkembang) sekarang.
 
“Saya memang muka tak malu. Saya memang peramah. Takpe la buat muka tembok ketuk rumah orang. Niat kita nak menyatukan masyarakat.” katanya.
 
Itulah hajat Encik Idris, kenduri sebagai satu wadah di mana orang melayu mampu untuk berinteraksi dan proses sosialisasi dilakukan. Usaha Encik Idris memang usaha yang murni.
 
“Yang saya tahu di kawasan Woodlands, Sembawang, Yishun. Kita je la yang buat macam gini...(senyum) Masjid pun salute usaha kita” ujarnya.
 
Wanita dan Kenduri
 
Memang kenduri itu dikendalikan bukan hanya sebagai satu wadah untuk spiritual tetapi yang penting adalah satu landasan sosial bagi masyarakat Melayu. Namun, kenduri boleh menjadi satu diskriminasi terhadap kaum hawa. Kenduri beramai-ramai di dewan serbaguna melihat kaum hawa duduk di satu sudut yang lain, terpencil dari kaum laki-laki.
 
Apabila memberikan pendapatnya, Rima Melissa Mahmud, 21, mahasiswi tahun ketiga Universiti Kebangsaan Singapura, juga memberikan satu gambaran sama.
 
“Keluarga saya apabila melakukan kenduri agak tradisional. Lelaki semua di luar dan wanita di dapur. Kalau di dapur tak buat kerja nanti orang memandang. Tapi kalau abang saya duduk di luar bergoyang kaki tak kena apa-apa.” dia berkongsi.
 
Perkara ini juga dapat diamati oleh satu kajian, Sylva Frisk, Profesor dan pengkaji antropologi Asia di Univeristi Gotenberg menerangkan dalam makalahnya bagaimana situasi pihak wanita yang dipinggirkan dalam suasana ritual didominasi oleh pihak lelaki memberikan satu semangat kewanitaan kepada mereka untuk berada atau mencapai tahap yang seiring dengan kaum lelaki. Dia juga mengupaskan terdapat kumpulan-kumpulan wanita-sahaja yang mengendalikan kenduri mereka sendiri di Malaysia.
 
Ustazah Habsah, 45, seorang guru ngaji di Sembawang berkata, “Wanita kan memang sifatnya pemalu.”
 
Dia mempunyai kumpulan mengaji yang hanya dikhususkan untuk kaum hawa sahaja. Setelah selesai berkhatam Al-Quran atau penghujung kelas pengajiannya, dia pun melakukan satu kenduri kesyukuran untuk anak muridnya.
 
“Mestilah kenduri itu penting. Kalau nak harapkan Hari Raya saja, setahun sekali je nanti jumpa.”
 
Pandangannya terhadap pentingnya kenduri dalam lingkungan masyarakat Melayu Singapura.
 
Perbezaannya pula, Ustazah Habsah melakukan kenduri hanya untuk kaum wanita. Dia menegaskan bahawa kenduri itu penting, lagi-lagi untuk kaum hawa yang selalunya terpinggir di dapur apabila kaum adam yang memimpin kenduri.
 
Dengan adanya kenduri hanya dengan kaum wanita, maka mereka tidak perlu rasa segan silu dan mampu untuk berinteraksi, merapatkan silaturrahim dan juga memimpin kenduri sendiri. Memberikan pihak wanita satu semangat yang baru dalam ritual dan budaya orang Melayu.
 
Kenduri yang dikendalikan oleh Ustazah Habsah bermula dengan anak muridnya membaca ayat-ayat al-Quran dan doa selepas khatam al-Quran. Memandangkan Ustazah Habsah merupakan seorang guru ngaji, dia terikut dengan pesanan gurunya untuk mengadakan sesi mengaji dan berkenduri bersama.
 
Makanan yang disediakan ditempah anak muridnya, Cik Maimon, yang selalu masak apabila terdapat kerja kenduri. Bukan itu sahaja, Ustazah Habsah juga mengadakan sesi tadarus di rumah-rumah anak muridnya.
 
Katanya, apabila seorang muridnya khatam al-Quran, maka mereka ramai-ramai akan ke rumah anak murid itu untuk membaca doa khatam al-Quran dan doa selamat, dan juga jamuan pada akhirnya.
 
“Ini semua untuk wanita sahaja. Kalau kita pergi ke rumah mereka, pihak lelaki mesti tiada di rumah”
 
Ustazah Habsah menegaskan.
 
Masa Hadapan Kenduri
 
Di sini terdapat dua watak yang kuat mengendalikan kenduri. Namun, dengan kemajuan ynag dicapai dan suasana yang dianggap moden, budaya berkenduri ini tidak banyak dilakukan. Atau anak muda tidak lagi berfikir bahawa ianya penting bagi masa hadapan.
 
“Orang muda ni, mindset dia lain...” Kata Encik Idris apabila ditanya persepsinya terhadap golongan muda dan kenduri.
 
“Orang sekarang nak ringkas,” dia berkata. Dia juga menceritakan bagaimana kenduri pada masa dahulu di kampung begitu riuh sekali. “Kalau kenduri, dia menyambung, seminggu persiapan harus dibuat. Orang kampung semua datang bersama dan bergotong-royong memasak.”
 
“It’s too much of a hassle for me.”
 
“I’m talking about practicality”

“Kalau diberi pilihan, memang tak nak buat tapi mak bapak paksa buat.”
 
Itulah suara-suara mahasiswa-mahasiswi muda apabila ditanya adakah mereka akan mengadakan kenduri pada masa hadapan.
 
Namun pada masa yang sama, Puan Rima Melissa Mahmud, memberikan pendapat yang berbeza.
 
“Ya, saya tetap akan mengadakan kenduri apabila saya tua nanti.”
 
Berketurunan Jawa, Rima melihat kenduri sebagai satu aktiviti di mana kaum keluarga dapat berkumpul dan berinteraksi bersama. Rima juga berkongsi pengalamannya sewaktu apabila menghadiri kenduri.
 
“Yang penting mesti ada nasi ambeng dalam dulang”
 
Itulah trademark kenduri untuk orang Jawa katanya. Sehinggakan dia menceritakan bagaimana kenduri dengan memakan Nasi Ambeng berdulang boleh menjadi satu pertandingan antara keluarga – keluarga manakah yang dapat menghabiskan dulang Nasi Ambeng yang paling banyak sekali.
 
Dengan adanya golongan muda seperti Rima dan juga orang-orang kuat yang cuba sedaya upaya untuk mengadakan kenduri supaya ianya tidak sahaja hilang ditelan zaman, kenduri mungkin dapat bertahan pada masa yang akan datang. Yang pasti, masa kini kenduri menjadi satu landasan dan wadah yang penting bagi masyarakat Melayu Islam yang membolehkan mereka berinteraksi, merapatkan silaturrahim dan juga menjalin satu hubungan spiritual dengan Tuhan.
 

Reader Comments

No comments on this post yet

Leave a Comment

Make sure you enter the(*)required information where indicate.HTML code is not allowed

Supported by

In partnership with

Contact Us

  • Address:
    Malay Heritage Centre
    85 Sultan Gate
    Singapore 198501
  • Email:
  • Tel:
    +65 6299 5503
  • Fax:
    +65 6299 5842

Looking for…?


Social media

Privacy Policy      ///     Terms & Conditions      ///     Sitemap